Thursday, July 17, 2008

Pengajian Sosial 1: Tamadun Islam di China

Interaksi Antara Tamadun : Tamadun Islam Di China

1.0 Pengenalan

Menurut Kamus Dewan-Edisi Ketiga (1998), interaksi bermaksud tindakan atau hubungan aktif antara satu sama lain atau boleh dinyatakan sebagai tindak balas antara dua atau beberapa pihak.

Perkataan tamadun berasal daripada bahasa Arab, iaitu mengambil perkataan mudun dan madain. Menurut Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman et.al (2006), satu lagi perkataan Arab yang membawa maksud tamadun ialah madana yang membawa maksud tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar.
Abdullah Alwi Hassan (2000), menyatakan masyarakat barat mengaitkan tamadun dengan pembangunan lahiriah terutamanya dalam hal-hal kebudayaan seperti penulisan, undang-undang, kesenian dan pembandaran.
Secara umumnya tamadun boleh dikaitkan dengan kesempurnaan dari segi peradaban dan cara hidup manusia. Selain itu juga elemen berbentuk lahiriah seperti kesenian dan seni bina perlu diringi dengan ketinggian dalam aspek kerohanian, tatasusila dan moral.
Tegasnya di sini, interaksi antara tamadun merujuk kepada pertembungan antara dua atau lebih tamadun yang mewujudkan pelbagai situasi positif atau negatif. Pertembungan yang positif melibatkan asimilasi atau penyerapan budaya yang akhirnya akan mewujudkan satu ciri yang tersendiri. Dalam konteks perbincangan ini, pertembungan antara tamadun Islam dan Tamadun China telah melahirkan pelbagai implikasi terhadap masyarakat China. Hal ini termasuklah penyerapan atau adaptasi antara kedua-dua tamadun yang berbeza dalam pembentukan budaya, kesenian dan corak hidup.


2.0 Kedatangan Tamadun Islam Ke China

Tamadun Islam disebarkan ke China melalui penyebaran syiar Islam. Hal ini telah dicatatkan dan dibincangkan oleh para penulis dan pengkaji sejarah melalui pelbagai media penulisan. Selain itu penyebaran tamadun ini juga dikaitkan dengan perdagangan, penaklukan oleh orang-orang Monggul serta perlantikan orang Islam sebagai penasihat kerajaan.
“ Agama itu telah wujud di China itu sejak Wangsa Tang apabila seorang sahabat Nabi Muhammad, Sa`ad ibn Abi Waqqas, telah diutuskan sebagai seorang perwakilan rasmi kepada Maharaja Gaozong pada 650 M. Maharaja itu menyamakan antara antara agama Islam dengan ajaran Confucius dan memerintah pembinaan masjid pertama di China. ( Wikipedia Bahasa Melayu)
Peter Clarke (2000) dalam bukunya “World’s Religions:Islam” menyatakan Islam telah bertapak di China semasa zaman Dinasti Tsang pada abad ke tujuh hingga abad ke sembilan. Menurut beliau, para pedagang Arab dan Parsi yang mengembara merentasi perairan India menemui hubungan dagangan yang menguntungkan di China dan kebanyakan daripada mereka memutuskan untuk membina pengkalan perdagangan di China. Di sini mereka mengekalkan nama Arab mereka, cara berpakaian dan mengamalkan agama Islam dalam wilayah China dengan penuh kebebasan. Seterusnya ada pedagang ini yang menikahi wanita berketurunan China, yang bukan sahaja menambah bilangan komuniti Islam , malahan turut mengasimilasikan budaya Arab ke dalam budaya China.
Yusuf Abdul Rahman (2008) menyatakan kesungguhan pedagang Islam telah membolehkan mereka mendominasikan perdagangan import dan eksport di China semasa pemerintahan Dinasti Sung (960-1279CE). Situasi ini berkemungkinan sekali didorong oleh perlantikan Pengarah Tertinggi Perkapalan pada masa itu yang merupakan seorang muslim. Menurut beliau lagi, pada zaman keagungan Islam di China, orang-orang Islam telah berintegrasi sepenuhnya dengan kelompok orang-orang Han dengan mengambil nama China dan sebahagian adat kebudayaan Han tetapi mengekalkan corak berpakaian dan diet pemakanan.

Jurnal Frontiers Focus (1997) menyatakan kegemilangan Islam di China berkait rapat dengan kejayaan Dinasti Tang (618-907). Hal ini kerana kerajaan Islam dan kerajaan China telah menjalinkan hubungan diplomatik yang agak erat. Pegawai Diplomatik Arab yang dihantar oleh Khalifah Uthman r. a telah menghadap Maharaja Tang (Kaotsung) di bandar Changan yang merupakan ibu kota Tang ketika itu.

Lawatan ini akhirnya telah membuka jalan kepada hubungan yang seterusnya. Pedagang dan pengembara memasuki China melalui jalan darat dan jalan laut. Kapal-kapal dagang yang kebanyakannya berpangkalan di Teluk Parsi, merentasi Semenanjung Arab dan Lautan Hindi menuju ke Canton dan pelabuhan lain di China.

Jalan darat yang termasyhur ialah ‘Laluan Sutera’ yang merentasi kawasan Mediterranean, Bukhara dan Samarkand sebelum memasuki Changan dan Beijing.

Apa yang ingin dijelaskan di sini ialah tentang penghormatan China terhadap kerajaan Islam Uthmaniah ketika itu yang terkenal dengan armada laut yang menguasai perairan di kawasan Teluk Parsi, Laut Merah, Laut Mediterranean dan Laut Hindi yang juga menjadi laluan pedagang China. Kemungkinan konflik antara dua kerajaan ini telah dapat diatasi melalui usaha diplomatik yang berpanjangan.



3.0 Pencapaian Tamadun Islam di China

Tamadun Islam di China telah mewujudkan pelbagai kejayaan dalam pelbagai bentuk kehidupan seperti seni bina, bidang seni khat, ciptaan sains dan sebagainya.

3.1 Tapak penyebaran Islam

Terdapat teori yang menyatakan Islam disebarkan ke Asia Tenggara melalui China. Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman et.al (2006) cf. Emanuel Gadinho Eredia dan S.Q. Fatimi memberikan alasan bahawa Canton (Khan Fo) telah menjadi pusat perniagaan terkenal dalam kalangan peniaga Arab yang beragama Islam sejak abad kesembilan Masihi. Hal ini mungkin juga berkaitan kerana jalinan hubungan antara peniaga China dan peniaga Islam membolehkan penyebaran agama Islam. Peniaga China ini kemudiannya menyebarkan agama Islam ke Asia Tenggara semasa berdagang.

Teori ini dinyatakan juga oleh Ramli Awang et.al (2007) bahawa hubungan perdagangan antara China dan orang Arab secara tidak langsung melahirkan hubungan antara China dengan kepulauan Melayu . Perkara ini telah dicatatkan berlaku semasa pemerintahan Maharaja Tai Tsuing dari Dinasti Pang (627M- 650M) dimana maharaja tersebut telah menerima kedatangan pendakwah Arab ( Wahab Abi Kabsyah) yang diutus Rasulullah s.a.w. Lebih-lebih lagi terdapat catatan dalam Dinasti Sung bahawa kedatangan Islam di Nusantara melalui sepanjang pantai laut China dan dibawa oleh pedagang-pedagang Islam dari Tiongkok pada awal tahun 977 Masehi.


3.2 Bidang seni bina.

Pembinaan masjid telah menjadi tapak kepada keutuhan agama Islam di China. Walaupun dipengaruhi sepenuhnya oleh identiti daripada seni bina China, namun pembinaan masjid ini boleh dianggap sebagai pengiktirafan maharaja China terhadap penyebaran agama Islam di sana. Hal ini juga boleh dirujuk kepada sambutan seorang daripada maharaja China ke atas rombongan diplomatik Kerajaan Uthmaniah yang telah disebutkan sebelum ini. Rombongan itu diketuai oleh Sa`d ibn Abī Waqqās, bapa saudara Nabi sebelah ibunya. Yung Wei, maharaja Tang yang menerima rombongan itu memerintahkan pembinaan sebuah masjid peringatan di Canton, yang merupakan masjid pertama di negara itu dibina. Zaman Dinasti Tang adalah zaman keemasan China dengan budaya kosmopolitan yang membantu memperkenalkan agama Islam. Pemastautinan orang Islam pertama di China terdiri daripada saudagar Arab dan Parsi. Di kawasan tersebut, kabilah Hui Chi menerima Islam, dan nama tersebut menjadi permulaan kepada rujukan terhadap huihui atau Hui sebagaimana yang mereka dikenali hari ini.




Masjid Agung Xiian, salah satu masjid tertua di China

( Sumber : www.wikepedia.com)


Mengikut Ibn Battutah , setiap perkampungan Islam di China ada masjid. Di Canton, jumlah orang Islam agak besar. Kebanyakannya terdiri daripada orang Arab, India, Parsi . Institusi masjid juga ditadbir secara sistematik dengan perlantikan kadhi dan mufti. Terdapat institusi pengajian agama, contoh Zawiyah di pinggir Canton dan Chang-an. Seorang daripada ulama tersohor ketika itu ialah Fuqaha-al-Mu'azzam Maulana Qawamuddin al-Sibti.


3.3 Peneraju dalam pembangunan dan pentadbiran negara.

Sejarah China telah mencatatkan kehadiran ramai individu Islam sebagai
tokoh dalam bidang pentadbiran, ketenteraan, diplomatik dan siasah negara China.
Menurut Min Chang (2004), Zheng He (1371 - 1435 ialah pelaut dan pengembara China yang paling terkenal dalam catatan 4000 tahun China. Dikenali juga sebagai Mah Sam Po ( mǎ sān bǎo), beliau mengetuai armada China sebanyak tujuh kali ke tiga puluh buah negara di serata alam Melayu, Asia Selatan, Timur Tengah, dan juga benua Afrika, hampir satu abad sebelum Christopher Columbus tiba di Amerika. Pelayarannya telah dirakamkan dalam karya "Sida-sida Sanbao ke Lautan Barat" atau "Zheng He ke Lautan Barat". Dilahirkan dengan nama Ma He di Yunnan, sebuah provinsi Mongol ketika itu yang terletak beberapa minggu perjalanannya dari pelabuhan terdekat, Zheng He bukannya orang Cina, tetapi merupakan orang Muslim Asia Tengah. Anak kepada seorang pegawai luar bandar, beliau ditangkap oleh tentera Cina yang menggulingkan Dinasti Mongol pada tahun 1382. Dikembiri, beliau dilatih menjadi sida-sida empayar dan ditugaskan ke istana Zhu Di, putera Yan yang suka berperang.
Dalam tempoh 20 tahun, Zheng He telah menjadi salah satu pembantu utama putera Yan, serta juga ahli strategi utama dalam pemberontakan yang menyebabkan Zhu Di (dengan gelaran Maharaja Yongle yang secara harfiah bermaksud "Maharaja Kebahagiaan Abadi") menjadi maharaja Dinasti Ming yang ketiga pada tahun 1402. Dinamai semula sebagai Zheng oleh Maharaja selepas kemenangannya dalam pertempuran di Zenglunba yang terletak berhampiran dengan Beijing, beliau kemudian dilantik untuk mengetuai salah satu angkatan tentera laut yang paling kuat di dunia ketika itu. Misinya membuktikan kehebatan dan keupayaan pengurusan dan teknologi, tetapi tidak membawa kepada perdagangan yang besar. Ini disebabkan Zheng He merupakan seorang laksamana dan pegawai, bukannya pedagang.
Semasa zaman kegemilangan Dinasti Ming, kehadiran individu Islam sebagai pambesar telah banyak menyumbang ke arah kemakmuran dan keselamatan negara China. Hal ini kerana kebanyakan orang Islam telah menyerap masuk ke dalam budaya dan cara hidup China, dan terpisah jauh dari dunia Islam di luar kesan daripada dasar kerajaan ketika itu. Dalam bidang ketenteraan , terdapat dua jeneral Islam yang ditugaskan di wilayah Yunnan dan Shandong. Kedua-dua wilayah ini secara kebetulannya merupakan pusat pembelajaran Islam di China pada waktu itu. Maharaja Zhu Yuanzhang antara maharaja yang mendapatkan khidmat orang Islam sebagai komander atau pemerintah bala tentera. Antara komander yang terkenal ialah Chang Yuchun, Hu Dahai, Mu Ying, Lan Fu, Feng Sheng dan Ding Dexing.




















Bibliografi


­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­___________(1998). Kamus Dewan-Edisi Ketiga. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Clarke, Peter (2000). Worlds Religions : Islam. Florence,KY,USA: Routledge
http://www.islamawareness.net/Asia/China/islchina.html
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Min Chang (2004). Islam In China. Beijing : China Intercontinental Press

Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman et.al ( 2006 ). Sejarah Tingkatan 4.
Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial,UTM.

Ramli Awang et.al ( 2007). Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Skudai: Pusat

Yusuf Abdul Rahman (2008). Artikel , “ Islam In China (650-1980 CE)”.

Artikel, “ The Unreached Peoples Prayer Profiles. China- Land of Diversity”
(1997). Jurnal, “Frontiers Focus”. Vol.4#3 and 5#2, Bethany World Prayer Center. http://www.islamawareness.net/Asia/China/Diversity/china4.html

Artikel, “ History of Islam In China”.(2008) http://chinese-/
school.netfirms.com/Muslims.html

Artikel, “Islam Di China”. (2008) http://www.wikepedia.com/

No comments: