Thursday, July 17, 2008

Pengajian Sosial 1: Sejarah Malaysia

PENGAJIAN SOSIAL 1 : SEMESTER 1

Nota Ringkas

Tajuk 1:
Sejarah Malaysia


Tajuk 1: Sejarah Malaysia

Hasil Pembelajaran:
Pada akhir tajuk ini, pelajar dapat:
a. menghuraikan perkembangan masyarakat dan negara dari segi politik, ekonomi dan sosial;
b. menjelaskan perjuangan menuntut kemerdekaan dan pembinaan negara bangsa;
c. menyatakan komponen serta fungsi sistem pentadbiran Malaysia; dan
d. menjelaskan Perlembagaan Malaysia sebagai panduan untuk mencapai keharmonian dan keamanan negara.

1.1 Sejarah dan Negara.

1.1.1 Definisi sejarah

Pada umumnya sejarah merupakan catatan peristiwa yang pernah berlaku.

Sejarah berasal daripada perkataan Arab , syarajatun yang bermaksud pohon atau pokok. Syajaratun juga bermaksud salasilah, riwayat, keturunan dan asal usul.

Mohd. Yusof Ibrahim (1986) mencatatkan bahawa sejarah merupakan catatan atau rekod mengenai sesuatu peristiwa yang berlaku pada suatu masa yang lalu.

Ahmad Fawzi Mohd. Basri dan rakan-rakan (2002) memetik kata-kata Herodatus bahawa sejarah merupakan penceritaan tentang tindakan manusia dan sebab-sebab mereka melakukannya.

Badriah Hj. Salleh dan Tan Liok Ee (1996) menyatakan bahawa konsep sejarah dalam Islam bersifat theocentric dengan manusia masih memegang watak atau peranan utama dalam proses sejarah.

1.1.2 Definisi negara

Kamus Dewan ( Edisi Ketiga) mentafsirkan negara sebagai suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sebuah kerajaan.

Ruslan Zainuddin dan rakan-rakan (2005) menyatakan bahawa negara merujuk kepada sebuah unit politik yang mempunyai kedaulatan dan tanggungjawab serta kuasa untuk menjalankan pemerintahannya sendiri. Negara berfungsi sebagai perantaraan antara pemerintah dengan masyarakat.

R.H Soltao (1977) mencatakan bahawa negara sebagai satu jentera atau agensi yang memiliki kuasa tertentu bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal rakyat bagi pihak rakyat itu sendiri.
Miriam Budiarjo (1981) memberi takrif negara sebagai satu sistem politik yang tersendiri daripada penduduk di dalam sesuatu kawasan atau wilayah yang ditetapkan serta mempunyai kerajaan.

Harold J. A. Laski (1984) berpendapat negara merupakan kelompok masyarakat yang bersatu dan mendapat kuasa yang sah disisi undang-undang. Kuasa itu mengatasi kuasa orang lain yang dimiliki oleh orang perseorangan atau kumpulan yang merupakan sebahagian daripada masyarakat itu.


1.1.3 Kepentingan sejarah dalam proses pembangunan negara bangsa

Rakyat yang mengetahui sejarah perkembangan bangsa akan dapat memahami ciri dan sifat masyarakat, sejarah perjuangan bangsa dan seterusnya memupuk semangat cintakan negara,

Wan Abdul Rahman Latif (2001) berpandangan bahawa pengetahuan mengenai sejarah amat penting agar masyarakat dapat mempertingkatkan kesedaran, kepekaan dan semangat ingin melibatkan diri dalam usaha mempertahankan kedaulatan, pembangunan dan kemajuan negara.

Dalam bidang ekonomi, kita boleh melihat banyak catatn yang dituliskan oleh ramai sejarawan barat.

Catatan sejarah yang dilakukan oleh orientalis barat seperti R.O. Winstedt (1947) ,The Malays - A Cultural History,dapat memberikan gambaran sebenar mengenai ekonomi Melayu ketika itu, yang berfokus kepada pertanian.

Begitu juga dengan catatan sejarah yang dilakukan oleh J.M. Gullick,(1989) Malay Society In The Late Nineteenth Century,yang menyatakan bahawa ekonomi pertanian orang Melayu lebih kepada sara diri.

Tidak kurang juga kita dapat melihat tokoh sasterawan dan sejarawan tradisi Melayu seperti Mohamad Ibrahim Munshi (1975) , The Voyages Of Mohamed Ibrahim Munsyi yang diolah ke dalam bahasa Inggeris oleh Amin Sweeney dan Nigel Phillips) telah melakarkan pengalaman beliau mengembara ke pantai timur Semenanjung Malaysia. Menurut beliau, orang Melayu telah melibatkan diri dengan perdagangan dengan menghasilkan barang-barang seperti orang-orang Cina. Mereka juga bergiat cergas dalam aktiviti perlombongan.

Sejarah juga mengajar manusia untuk memperbaiki sistem yang sedia ada. Masyarakat Malaysia telah membentuk identifikasi psikologi sendiri dan telah melalui beberapa peristiwa penting yang membuktikan masyarakat Malaysia juga bertamadun serta mampu melahirkan struktur politik, ekonomi dan sosial yang kompleks.

Ruslan Zainuddin dan rakan-rakan (2005) menyatakan, sejak pembukaan Melaka oleh Parameswara pada awal kurun ke-15, Melaka telah membangun dan mewujudkan empayar yang termasyhur sebagai pusat perdagangan, pusat penyebaran Islam, kuasa penakluk utama, pusat pemerintahan agung yang mempunyai hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa besar dunia, seperti Cina dan Eropah.



Tajuk 1.2:
Institusi Politik

1.2. Institusi Kesultanan Melaka dan Jajahan Takluk
a. Bentuk pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka
Seramai 8 orang sultan telah memerintah kerajaan Kesultanan Melayu Melaka sejak tahun 1400 hingga 1511, iaitu apabila Melaka ditawan oleh Portugis.
Parameswara(Raja Iskandar Syah)
1400-1414
Sultan Mahkota Iskandar Syah
1414-1424
Sultan Muhammad Syah (Seri Maharaja)
1424-1444
Parameswara Dewa Syah (Raja Ibrahim)
1444-1445
Sultan Muzaffar Syah (Raja Kassim)
1445-1459
Sultan Mansor Syah
1459-1477
Sultan Alauddin Riayat Syah
1477-1488
Sultan Mahmud Syah
1488-1511
Sultan Ahmad Syah
Tidak sempat memerintah

Rajah 1.0 Sultan dalam Kerajaan Melayu Melaka

Dalam soal pembangunan politik, kerajaan Melaka mempunyai sistem pentadbiran yang sistematik dan tersusun. Zainal Abidin Abdul Wahid dan rakan-rakan (1992) menyatakan bahawa Melaka muncul sebagai kerajaan kelautan yang gagah kerana mempunyai sistem undang-undang yang terbaik pada ketika itu. Dua kumpulan undang-undang yang dapat kita lihat dan kaji pada ketika itu ialah Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka.


Sultan


Pembesar Empat
(Bendahara, Temenggung, Laksamana, Penghulu Bendahari)


Pembesar Lapan
(Syahbandar, Pembesar yang bergelar Seri)


Pembesar Enam Belas
( Pembesar yang bergelar Raja)


Pembesar Tiga Puluh Dua
(Pembesar peringkat rendah)

Rajah 1.1 Sistem pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka



Sistem pentadbiran yang diwujudkan oleh Kerajaan Melayu Melaka menunjukkan dengan jelas tugas dan peranan setiap pembesar yang dianggap sebagai wakil raja. Semakin tinggi kedudukan seseorang pembesar, semakin besar kuasa yang ada pada beliau.


Kekuatan sistem pertahanan Melaka adalah hasil daripada komitmen Kerajaan Melayu Melaka memperkasakan angkatan lautnya dengan bahtera dan kapal-kapal besar. Kekuatan dan kehandalan tentera Melaka telah diketahui sejak awal lagi. Umpamanya, Melaka telah dapat mematahkan serangan Siam pada tahun 1445 dan 1456.

Sejarah Melayu mencatatkan , terdapat seorang bendahara Melaka yang cukup pintar dan gagah iaitu Bendahara Tun Perak. Beliau telah mencurahkan bakti kepada empat orang sultan iaitu dari Sultan Muzaffar Syah hingga kepada Sultan Mahmud Syah.Ada ahli sejarah yang menyatakan bahawa beliaulah yang bertanggung jawab meluaskan jajahan takluk Melaka, dan menewaskan musuh utama Melaka iaitu Siam dan Pasai. Selain itu , Tun Perak telah memimpin angkatan Melaka untuk menakluk Indera Pura atau Pahang.

Untuk menjamin keselamatan perjalanan di Selat Melaka, beberapa buah negeri di persisiran pantai timur Sumatera juga telah dikuasainya. Negeri-negeri tersebut ialah Rokan, Siak, Kampar, Jambi, Inderagiri dan Haru.

Sebagai seorang yang taat kepada agama Islam, Tun Perak telah terlibat sepenuhnya dalam usaha mengembangkan ajaran Islam ke seluruh wilayah Asia Tenggara sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1498.

Dasar perluasan kuasa seterusnya diterajui oleh Laksamana Melaka, seperti Laksama Hang Tuah, yang telah dapat meluaskan jajahan di beberapa kawasan Tanah Melayu dan di pantai timur Sumatera. Hal ini kerana Laksamana yang dilantik oleh raja, turut berkuasa ke atas armada di laut dan darat.

Hang Tuah juga menjalankan tugas diplomatik dan mengiringi sultan semasa melawat ke luar negara. Negara yang dilawati beliau termasuklah negara Cina.



b. Kesinambungan sistem pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka dalam
pentadbiran semasa.

Sistem pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka merupakan satu sistem di mana seorang raja bertanggung jawab ke atas semua urusan pemerintahan dan pentadbiran negara. Raja berada di kemuncak hierarki pemerintahan dan berperanan untuk menggubal dan melaksanakan dasar pemerintahan. Oleh kerana biasanya raja-raja tersebut menguasai sesebuah kerajaan yang diasaskan oleh baginda sendiri atau diwarisi, daripada raja terdahulu, maka baginda memiliki kuasa mutlak yang tidak boleh dipersoalkan. Segala arahan, tindakan dan hukuman yang dijatuhi raja perlu dipatuhi oleh rakyat dengan sepenuhnya.

Perlembagaan Persekutuan dibentuk dengan mengambil kira perkembangan sejarah negara sebelum dan selepas penjajahan. Kebanyakan perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengandungi amalan yang diwarisi daripada zaman prapenjajahan, kecuali peruntukan tentang pentadbiran, parlimen dan kewarganegaraan.

Empat unsur tradisi yang diwarisi sejak zaman prapenjajahan dan masih dikekalkan dalam Perlembagaan Persekutuan ialah institusi beraja, agama Islam, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu.



Unsur-unsur Tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan
Pemerintahan Beraja
Pemerintahan beraja mutlak ditukar kepada sistem raja berpelembagaan
Agama Islam
Dijadikan sebagai agama rasmi Persekutuan
Kedudukan istimewa Orang Melayu
Dipelihara sebagai tanggungjawab khas Yang di-Pertuan Agong
Bahasa Melayu
Dijadikan sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan


Rajah 1.2 Unsur-unsur tradisi yang diwarisi dan diserapkan menjadi sebahagian daripada kandungan penting Perlembagaan Persekutuan
.

c. Kesan Institusi Kesultanan Melaka dalam sistem pentadbiran masa kini

i. Pemerintahan Beraja
Sebelum kedatangan penjajah negeri-negeri Melayu telah berabad-abad lamanya mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Raja berkuasa secara mutlak dalam semua urusan pemerintahan dan pentadbiran negeri. Baginda dibantu oleh para pembesar negeri.

Setelah negara mencapai kemerdekaan, institusi pemerintahan beraja terus dikekalkan mengikut lunas-lunas perlembagaan selaras dengan sistem demokrasi yang diamalkan. Seiring dengan itu beberapa perubahan telah dilakukan ke atas institusi beraja untuk disesuaikan dengan amalan demokrasi berparlimen.

Sistem beraja mutlak terus dimansuh dan digantikan dengan sistem raja berpelembagaan. Di bawah sistem ini, raja-raja dikehendaki menerima nasihat anggota kabinet untuk bertindak menurut nasihat-nasihat itu.

ii. Agama Islam
Agama Islam menjadi agama anutan orang Melayu sejak lebih 600 tahun yang lalu. Selepas merdeka kedudukan agama Islam terus dipeliharadan menjadi agama rasmi persekutuan. Namun agama-agama lain masih boleh diamalkan dengan bebas dalam mana-mana bahagian Persekutuan.

Selaras dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, kerajaan pusat diberi kuasa untuk membelanjakan wang bagi tujuan pentadbiran agama Islam dan Undang-undang Syariah.

iii. Bahasa Melayu
Matlamat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah untuk menyatukan pelbagai kaum ke arah membentuk sebuah negara yang bersatu melalui satu bahasa yang sama digunakan oleh semua lapisan rakyat.
Hal ini juga berkaitan dengan sifat bahasa Melayu itu sendiri yang telah menjadi lingua-franca atau bahasa perantaraan di kepulauan Asia Tenggara pada zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka.

iv. Kedudukan istimewa orang Melayu
Perkara 153 bermaksud Yang di-Pertuan Agong dikehendaki melaksanakan dasar-dasar bagi melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dari segi jawatan dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa dan bantuan, kemudahan pendidikan serta lesen untuk perniagaan dan perdagangan.

No comments: